Nuffnang

Followers

Wednesday, September 29, 2010

Ujibakat untuk kanak-kanak berbakat - KAMILAH BINTANG!

Info dari Facebook Astro ~

Sebuah Pencarian Bintang Masa Depan

Sejajar dengan perkembangan industri seni tanahair yang semakin rancak dan membangun, Astro tidak mahu melupakan golongan kanak-kanak yang turut memberi sumbangan besar ke arah itu. Sehubungan dengan itu, Astro dengan berbesar hati memperkenalkan sebuah program realiti nyanyian yang disasarkan khusus untuk kanak-kanak bagi mencari pelapis penyanyi sedia ada berjudul Kamilah Bintang yang akan memulakan penjelajahan untuk sesi uji bakat tidak lama lagi.

Program Kamilah Bintang bakal menyaksikan gandingan Mohd Hairey Azhar Bin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Zoey dan Norsyarmilla Jirin atau Mila yang buat pertama kali digandingkan di atas pentas bagi menggalas tanggungjawab sebagai pengacara. Program ini juga bakal disiarkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula 21 November 2010 kelak.

Program Kamilah Bintang merupakan pertandingan nyanyian berbentuk realiti yang pertama ditayangkan di Astro Ceria. Paling membanggakan, ini merupakan satu-satunya program realiti di Malaysia yang tidak akan menyingkirkan pesertanya. Juara hanya ditentukan menerusi markah terkumpul sepanjang enam konsert mingguan termasuk konsert akhir bersiaran. Selain itu, Kamilah Bintang juga turut menampilkan barisan artis terkemuka di Malaysia untuk membimbing para peserta.

Program Kamilah Bintang bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program-program sedia ada lain yang pernah diterbitkan. Menariknya program ini ialah para peserta bukan saja akan dibimbing oleh lima orang artis profesional yang mempunyai nama besar dalam industri seni Malaysia, malah mereka berpeluang untuk berguru dengan seorang selebriti popular yang mempunyai pengaruh dan bakat yang hebat. Berbeza dengan program nyanyian sedia ada, Kamilah Bintang ingin mencungkil bakat baru sebagai pelapis bagi meneruskan kesinambungan penyanyi-penyanyi hebat tanahair yang sedia ada seperti Dato’ Siti Nurhaliza, KRU, Anuar Zain dan ramai lagi.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program Kamilah Bintang yang buat pertama kali diperkenalkan di Astro Ceria anda dijemput hadir ke sesi uji bakat seperti berikut;

2 & 3 Oktober - Hotel Vistana, Kuantan
9 & 10 Oktober - Hotel Grand BlueWave, Johor Bahru
16 & 17 Oktober - Hotel Quality, Shah Alam

Sesi uji bakat ini terbuka kepada kanak - kanak warganegara Malaysia yang berumur di antara 10 hingga 14 tahun. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar terkini berukuran 4R termasuk gambar profil dan paras pinggang. Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian sewaktu sesi uji bakat ini nanti.

Kaunter pendaftaran bagi sesi ujibakat akan dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.

Program Kamilah Bintang ini akan mula bersiaran di Astro Ceria (saluran 611) pada 21 November 2010. Butiran lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.


3 comments:

mummy_ayu said...

good info..tapi tak leh nak join..sbb anak tak cukup umur lagi...

Wansteddy Tales said...

mummy ayu ~ takpe leh ajak anak kawan2 lain join sama ><

Unknown said...

hmm.. semakin byk pula prog utk mengasah anak2 menyanyi ni.. menyanyi boleh, jgn sampai tak mau p sekolah da...